SEORANG maut ketika meraikan kemenangan pasukan kebangsaan Argentina pada Piala Dunia 2022. Peminat yang dikenali sebagai AM itu maut akibat terjatuh dari bumbung.

Memetik laporan La Nacion, AM meninggal dunia selepas terjun ke atas bumbung tempat letak kereta restoran itu yang berasaskan plastik.

AM ditemui dengan kecederaan serius di kepala. Lelaki berusia 24 tahun itu dirawat di Hospital Fernandez, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.

Polis berkata, AM melompat-lompat meraikan kemenangan pasukan kebangsaan Argentina sehingga bumbung plastik di bawahnya pecah. Dia kemudian jatuh dari ketinggian menyebabkan kecederaan serius di kepala.

Keluarga memberikan kenyataan rasmi berhubung kematian AM yang dikatakan terjatuh ketika hendak membuang air kecil.

“Sekitar jam 8.30 malam Ahad, AM bersama rakan-rakan sedang menuju ke sebuah kereta yang diletakkan di Illia sama seperti orang lain. Terdapat begitu banyak kereta sehingga mereka tidak dapat ke lokasi pusat kerana sambutan.

“Apabila mereka berada 20 meter dari kereta, AM memutuskan untuk membuang air kecil di tepi lebuh raya di atas pagar dan ketika itu dia secara tidak sengaja terpijak kepingan plastik lama yang menjadi bumbung tempat letak kereta restoran dan terjatuh.

“Dia tidak mabuk, dia hanya tidak mahu diperhatikan apabila dia kencing. Dia seorang budak lelaki, pelajar dan pekerja yang sihat yang dan rakan-rakannya memutuskan untuk meninggalkan lokasi kerana telah berlaku rusuhan dan mereka mahu pergi pulang ke rumah untuk makan malam dan meneruskan sambutan dengan lebih tenang,” kata keluarga AM dalam satu kenyataan.

Pasukan kebangsaan Argentina diarak menaiki bas terbuka dalam perarakan juara Piala Dunia di Buenos Aires pada Selasa. Sambutan berakhir dengan berlaku sedikit pertempuran antara peminat dan pasukan keselamatan.