BEREMOSI dan berbangga.. Begitulah perasaan yang digambarkan jurulatih Perancis, Didier Deschamps apabila Les Bleus ke final Piala Dunia kali kedua berturut-turut selepas mengatasi Maghribi 2-0 pada aksi separuh akhir.

Kemenangan itu membolehkan mereka mempertahan kejuaraan dimenangi 2018, dan akan berdepan Argentina Ahad ini.

“Ada banyak perasaan emosi dan rasa bangga. Kemenangan ini cukup besar dan kita ada satu lagi langkah besar untuk dilalui.

“Kami bersama-sama sejak sebulan yang lalu. Perjalanan ditempuhi tidak mudah sebaliknya, ia sangat menggembirakan setakat ini dan pemain saya mendapat habuan mereka,” kata jurulatih Perancis yang begitu gembira itu.

Perancis menyasarkan untuk menjadi negara pertama dalam tempoh 60 tahun menang Piala Dunia berturut-turut selepas kejayaan Brazil muncul juara dua edisi berturut-turut pada 1958 dan 1962. – Agensi