EMPAT pasukan pilihan, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang masing-masing berjaya menempah tempat ke separuh akhir Kejohanan Hoki Bawah 16 (B-16) Lelaki dan Perempuan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas berjaya menduduki empat tempat teratas liga kategori lelaki.
Dalam aksi peringkat kumpulan, Pahang berjaya menguasai Kumpulan A dengan 11 mata manakala Selangor pula berjaya mendahului Kumpulan B dengan 18 mata maksimum dari enam perlawanan manakala Perak dan Negeri Sembilan di tangga kedua kumpulan masing-masing.
Kejohanan Hoki B16 tahun ini akan memasuki peringkat separuh akhir dan klasifikasi yang dijadualkan berlangsung pada 24 Jun ini dengan aksi final bakal diadakan pada 25 Jun.

Negeri Sembilan bakal bertemu Pahang pada aksi separuh akhir pertama manakala Perak bertemu Johor untuk separuh akhir kedua dengan kedua-dua perlawanan berlangsung serentak di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Bagi perlawanan klasifikasi pula, Sarawak bakal bertemu Terengganu untuk penentuan tempat ke-11 dan 12 sebelum Sabah dan Pulau Pinang berentap untuk merebut tempat kesembilan dan kesepuluh.
Dua lagi perlawanan klasifikasi bakal berlangsung antara Kuala Lumpur dan Melaka bagi merebut tempat ketujuh dan kelapan sebelum Johor dan Kelantan bersaing untuk merebut tempat keempat dan kelima.
Sementara itu dalam kategori perempuan pula, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak bakal menentukan juara apabila bakal bertemu di peringkat separuh akhir yang juga dijadualkan pada 24 Jun.

Pulau Pinang cemerlang dengan rekod tanpa kalah di peringkat Kumpulan A dengan 16 mata begitu juga Melaka yang handal menguasai Kumpulan B juga dengan rekod tanpa kalah dan mengutip 18 mata maksimum.

Perak dan Pulau Pinang bakal merebut tempat ke final sementara Melaka dan Negeri Sembilan juga mengintai peluang ke final dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Untuk perlawanan klasifikasi tempat ke-13/14, Perlis akan bertemu Sabah sementara tempat ke-11/12 menyaksikan pertemuan Kelantan dan Sarawak sebelum Kedah dan Terengganu bersaing merebut tempat kesembilan dan kesepuluh.
Kuala Lumpur dan Johor pula akan bersaing merebut tempat ketujuh dan kelapan dan Selangor bakal berdepan Pahang untuk perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam dengan kesemua perlawanan diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.