DATUK Tey Seu Bock sah kembali menggalas tanggungjawab membimbing skuad perseorangan lelaki senior negara sebagai sebahagian penstrukturan semula barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengerusi jawatankuasa prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, berkata pelantikan itu hasil perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen, yang mencadangkan sendiri nama jurulatih berpengalaman berkenaan.

Ketika ini Seu Bock bertugas sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja negara, namun kepakaran dan pengalamannya di peringkat tertinggi diyakini mampu memberi impak segera kepada kem senior.

“Saya boleh sahkan jurulatih Seu Bock akan naik semula ke skuad senior dan ini adalah apa yang kita bincangkan bersama Jonassen,” kata Chong Wei.

Menurut Chong Wei, peranannya sebagai pengerusi adalah menyokong serta meluluskan cadangan jurulatih yang lebih memahami keperluan teknikal dan keserasian pasukan.

“Saya dengar apa yang jurulatih perlukan dan Kenneth sendiri yang mencadangkan Seu Bock untuk kembali membantu pasukan kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei mengesahkan sentuhan Seu Bock penting sebagaimana pengalaman peribadinya yang pernah dibimbing jurulatih itu sepanjang karier gemilangnya.

Sebagai rekod, Seu Bock adalah watak penting di sebalik kejayaan Chong Wei meraih tiga pingat perak Olimpik serta pelbagai gelaran dunia sebelum kembali diberi peranan besar dalam perancangan jangka panjang BAM.