BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur dengan keampuhan regu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang berjaya menguasai permainan dan angin untuk mara ke final Terbuka China.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Changzhou, pasangan pilihan tuan rumah itu menang straight set 21-14, 21-17 hasil strategi kemas yang gagal dipatahkan oleh Pearly-Thinaah.

“Permainan mereka sangat berkesan hari ini kerana mereka berjaya mengikut arah angin dan laksanakan strategi dengan baik,” kata Pearly, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sambil mengakui mereka lambat menukar strategi hingga menjadi punca utama kekalahan.

Mereka cuba mengubah pendekatan pada set kedua namun segalanya sudah terlambat dan pasangan China pula tidak memberi ruang untuk bangkit semula.

“Angin agak sukar dijangka hari ini dan bukan alasan untuk kami, sebaliknya ia pengajaran penting agar kami lebih bersedia dan tidak terperangkap lagi,” kata Thinaah yang mahu mencari solusi taktikal segera.

Walaupun gagal ke final, Pearly tetap melihat pencapaian ke separuh akhir sebagai bekalan positif menjelang Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kami bawa pulang banyak pengalaman berguna dari dua minggu ini, dan akan belajar serta kembali lebih kuat di kejohanan seterusnya,” katanya lagi.