ENAM individu termasuk Yeoh Kay Bin dan Mohd Zakry Abdul Latif bakal menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun hanya boleh disahkan selepas mendapat pelepasan bajet daripada Ahli Majlis.
Pengerusi jawatankuasa prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, berkata pelantikan jurulatih baharu itu adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula kejurulatihan dalam usaha meningkatkan kualiti badminton negara.
“Kita sudah berbincang dalam mesyuarat majlis dan saya mahu dapatkan kelulusan bajet dahulu kerana kita mahu ambil jurulatih baharu serta susun semula barisan kejurulatihan,” katanya pada sidang media di Axiata Arena.
Beliau berkata, perubahan yang dilakukan juga demi memastikan kesinambungan pemain masa depan negara.

Mohd Zakry Latif bakal kembali ke BAM.
“Kita mahu satu pasukan yang ada jurulatih dan pemain yang berkualiti. Kita tahu November tahun lepas kita ada buat pemilihan untuk generasi muda junior umur 15, 16, 17 tahun. Kita bawa masuk ramai pemain, jadi kita perlu susun semula struktur kejurulatihan.”
Dalam pada itu, Chong Wei mengesahkan tiada jurulatih diturunkan pangkat pada penstrukturan semula kali ini termasuk kedudukan Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky.
“Setakat mesyuarat semalam, semuanya masih sama, tiada siapa turun pangkat, kita cuma tambah jurulatih sahaja,” jelasnya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu menambah, BAM memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan dalam pelantikan baharu selain turut mengemukakan cadangan kenaikan gaji bagi memastikan kepakaran tempatan terus kekal bersama pasukan kebangsaan.