KELAB Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday telah menyelesaikan bayaran cukai tertunggak sehari selepas pemilik Dejphon Chansiri meminta peminat yang kesal mengumpul £2 juta untuk menyelamatkan kelab tercinta mereka.

Sebelum ini, The Owls dikenakan sekatan pendaftaran akibat kegagalan membayar cukai kepada HM Revenue and Customs (HMRC) minggu lalu.

Chansiri berkata, masa depan kelab itu berada dalam tangan penyokong yang sudah lama menderita dan memberi bayangan bahawa gaji pemain dan kakitangan mungkin tidak dibayar pada masanya berdasarkan kesan domino daripada dana yang tertunggak terhadap perniagaannya.

Walau bagaimanapun, gaji mereka telah dibayar sepenuhnya pada Selasa. Chansiri turut mengesahkan pembayaran yang dibuat kepada HMRC dan sekatan EFL bakal ditarik semula.

Pemain Sheffield boleh fokus terhadap aksi Liga Kejuaraan musim ini.

Beliau sebelum ini mengambil keputusan menyeru 20,000 peminat kelab tersebut untuk membantu membayar £100 (RM579.23) setiap seorang bagi menyelesaikan masalah aliran tunai yang berlaku.

“Apabila ditanya apa yang akan berlaku jika wang yang perlu diberikan kepada saya tidak dibayar pada masanya, saya cuba menjadi setelus yang boleh.

Wang (dana kelab) yang patut diberikan kepada saya telah lewat dan ini berpotensi memberi kesan kepada kelab. Saya menjelaskan situasi ini sepenuhnya jika saya tidak mempunyai dana yang tersedia, tetapi akhirnya perkara tersebut tidak sampai ke tahap itu,” tambahnya.

Image

Penyokong The Owls bersatu membantu kelab kesayangan mereka daripada dikenakan hukuman dari EFL.

Chansiri menegaskan terdapat perbezaan besar antara aliran tunai dan wang dalam bank dan iklim kewangan semasa sedang memberi kesan kepada aliran tunai perniagaan di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, prestasi Wednesday semakin merosot di dalam carta kejohanan dan menghuni tangga tercorot dengan enam mata selepas bermain 14 perlawanan.  Namun begitu, ada khabar gembira apabila jurulatih muda dari Jerman, Danny Rohl, meraih kemenangan pertamanya semasa berdepan Rotherham di Hillsborough pada Ahad.