BEKAS petarung UFC, Khabib Nurmagomedov, terlibat dalam insiden tempat duduk dengan kakitangan Frontier Airlines sebelum diiring keluar dari pesawat di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Dalam hantaran di platform X, Nurmagomedov menceritakan bahawa insiden tersebut berlaku di dalam penerbangan Frontier Airlines, di mana seorang atendan penerbangan dikatakan bersikap kasar sejak awal interaksi.

“Walaupun saya fasih berbahasa Inggeris dan memahami arahan, serta bersetuju untuk membantu, dia tetap mahu mengeluarkan saya dari tempat duduk,” kata Nurmagomedov.

Beliau turut mempersoalkan alasan di sebalik tindakan itu, sama ada berasaskan perkauman, kewarganegaraan, atau sebab lain.

Pertelingkahan bermula apabila kakitangan penerbangan mempertikaikan sama ada Nurmagomedov, yang duduk di barisan pintu kecemasan, bersedia atau mampu membantu penumpang lain dalam situasi kecemasan.

Dalam rakaman video yang diambil oleh penumpang lain, seorang atendan penerbangan dilihat bertanya kepada Nurmagomedov, 36 tahun, sama ada beliau boleh membantu jika diperlukan. Atendan itu juga berkata, “Kami tidak boleh benarkan anda duduk di barisan pintu kecemasan… Saya tidak akan terus berdebat. Saya akan panggil penyelia. Anda boleh pilih untuk duduk di tempat lain atau kami akan iring anda keluar dari pesawat.”

Nurmagomedov membalas dengan menyatakan, “Ini tidak adil.” Beliau turut menjelaskan bahawa beliau telah mematuhi arahan kru penerbangan semasa proses masuk pesawat dan berkata, “Semasa daftar masuk, mereka bertanya sama ada saya tahu berbahasa Inggeris… dan saya jawab ya. Jadi, mengapa anda lakukan ini?”

Pengurus atendan penerbangan, yang tidak berpuas hati dengan jawapan Nurmagomedov, dilihat dalam video beberapa kali menawarkan tempat duduk lain atau pilihan untuk menaiki penerbangan seterusnya. Akhirnya, Nurmagomedov bersama rakan-rakan perjalanan beliau diiring keluar dari pesawat.

Difahamkan Nurmagomedov sedang dalam perjalanan ke California untuk menyokong rakan sepasukannya menjelang acara UFC 311 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari di Los Angeles, Nevada, Amerika Syarikat.

Nurmagomedov, seorang Muslim, menamatkan karier UFCnya dengan rekod tanpa kalah (29-0). Beliau dianggap sebagai salah seorang pejuang seni mempertahankan diri campuran (MMA) terbaik sepanjang zaman.