Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan untuk melakukan perubahan dalam struktur kejurulatihannya apabila memansuhkan jawatan Pengarah Teknikal yang sebelum ini disandang John Beasley.

Sebagai langkah baharu, badan induk berbasikal negara itu akan mewujudkan jawatan Jurulatih Berprestasi Tinggi dan merancang mendapatkan khidmat tenaga kejurulatihan dari luar negara bagi mengisi posisi berkenaan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara menerusi mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang berlangsung kelmarin.

“Keputusan ini dicapai secara sebulat suara. Exco PKBM berpendapat jawatan Pengarah Teknikal yang kali terakhir dipegang oleh Beasley akan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Amarjit, cadangan pelantikan jurulatih baharu itu akan dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak berkepentingan lain.

Beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berharap perubahan berkenaan dapat membuka lembaran baharu buat skuad berbasikal trek negara.

“Saya harap keputusan ini akan memberikan sinar baharu kepada pasukan trek berbasikal Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk mencari pengganti sehebat Beasley. Saya pastikan tekankan bahawa PKBM sangat terhutang budi kepada Beasley.

“Bagaimanapun, kita mesti memandang ke hadapan. Jurulatih Berprestasi Tinggi ini mestilah seorang yang sangat ternama dan boleh membawa skuad trek negara ke tahap yang lebih dinamik dan bertenaga. Saya percaya PKBM boleh cari pengganti Beasley,” katanya.

Amarjit pada masa sama menyenaraikan beberapa pelumba yang diyakini masih berpotensi untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, antaranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustaffa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Untuk rekod, Beasley mula berkhidmat sebagai jurulatih trek kebangsaan pada Januari 2006 sebelum menamatkan khidmatnya secara rasmi pada 31 Oktober lalu.

Beliau terlebih dahulu mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos dengan notis tiga bulan sebelum meneruskan kerjaya di Jepun.