SKUAD hoki lelaki kebangsaan kekal dengan perancangan menjalani latihan dan mengadakan sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan di New Zealand.
Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berkara, skuad lelaki negara akan berada di New Zealand dari 8 hingga 18 Disember depan.
“Kita meneruskan perancangan awal ke New Zealand dan bermain menentang pasukan kebangsaan mereka serta Korea Selatan di sana.
“Mengikut perancangan kita, perlawanan antarabangsa amat diperlukan.
“Sememangnya New Zealand berada dalam blok kita iaitu dalam kumpulan B di Oman, manakala pasukan ktita pula dalam kumpulan A.
“Kami sedar, di atas kertas jika ranking dijadikan ukuran, jika kita layak ke separuh akhir berkemungkinan kita berjumpa New Zealand, saya faham ada pihak yang bimbang taktikal kita diketahui pasukan lawan, tetapi dalam masa sama, kita juga boleh memanfaatkan kelebihan itu, pasukan analisa kita akan dapat menilai di mana kekuatan dan kelemahan New Zeland,” kata Mirnawan, mahu melihat sudut positif buat pasukan.
Tambah beliau, sekiranya skuad negara akhirnya menentang New Zealand di peringkat kalah mati, beliau yakin pengendali, A Arulselvaraj memiliki strategi terbaik untuk menundukkan lawan.
Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan Maninderjit Singh, menyuarakan kebimbangan dengan perancangan pasukan hoki kebangsaan yang mahu mengadakan siri perlawanan persahabatan di New Zealand, kerana dibimbangi memberi kelebihan kepada lawan jika bertemu pada pusingan kelayakan di Muscat, Oman Januari depan.
Maninderjit turut menyarankan agar pasukan negara berada lebih awal di Muscat, mengadakan perlawanan persahabatan di atas padang pertandingan.