PERLAWANAN simulasi tekanan jadi fokus latihan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei menjelang Kejohanan Dunia di Paris apabila jurulatih mahu mereka membina mentaliti juara demi memburu pingat.
Pasangan ranking keempat dunia itu dilihat memiliki kemahiran mantap namun kerap rapuh dari segi ketahanan mental ketika aksi genting di gelanggang.

Toh Ee Wei perlu bijak mengawal emosi ketika ditekan pemain lawan.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, juara sejati mampu menang walau tidak berada pada prestasi terbaik dan itulah karakter yang mahu dilihat daripda Tang Jie–Ee Wei.
“Mereka boleh bermain baik ketika mendahului, tapi bila kedudukan rapat, permainan jadi kucar-kacir dan hilang fokus,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto memperkenalkan perlawanan simulasi khas untuk membiasakan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Menurut Nova, beliau dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky merangka latihan simulasi tekanan supaya pasangan ini biasa mengawal emosi ketika situasi mendesak.
“Kita tak boleh tunggu kejohanan untuk uji perkara ini, kalau sudah biasa di latihan, peluang untuk buat di pertandingan lebih tinggi,” jelasnya.

Chen Tang Jie sering kelihatan buntu apabila pasangannya gagal mengawal emosi sehingga menjejaskan rentak permainan.
Nova meletakkan sasaran sekurang-kurangnya separuh akhir di Paris, sekali gus mengakhiri kemarau pingat Malaysia dalam acara beregu campuran di Kejohanan Dunia.
Jika berjaya menjejak podium, Tang Jie-Ee Wei akan menyamai pencapaian Koo Kien Keat-Wong Pei Tty sebagai satu-satunya pasangan negara yang pernah meraih pingat di Kejohanan Dunia.