Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain Malaysia pertama dalam tempoh 14 tahun yang berjaya melangkah ke final PSA Squash Tour Finals.
Pemain ranking kelima dunia itu mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk menyingkirkan pilihan utama kejohanan dari Mesir, Amina Orfi dalam saingan separuh akhir yang berlangsung di Cenquatre-Paris, Perancis.
Dalam perlawanan sengit yang berlarutan selama 74 minit, Sivasangari bangkit cemerlang untuk mencatat kemenangan 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 ke atas juara dunia itu.
Kejayaan tersebut menjadikan Sivasangari pemain Malaysia pertama mara ke pentas final kejohanan penutup musim berprestij itu sejak legenda skuasy negara, Datuk Nicol David melakukannya pada 2012.
Pada edisi tersebut, Nicol muncul juara selepas menewaskan pemain England, Laura Massaro untuk merangkul gelaran berkenaan.
Bagi Sivasangari, kemenangan ke atas Orfi sekali lagi membuktikan peningkatan konsisten yang dipamerkannya sepanjang musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu kini mencatat kemenangan ketiga ke atas Orfi daripada 10 pertemuan keseluruhan.
Lebih menarik, ini juga kemenangan kedua berturut-turut Sivasangari ke atas pemain Mesir itu selepas turut menewaskannya di peringkat separuh akhir Grasshopper Cup di Zurich pada April lalu sebelum muncul juara kejohanan.
Cabaran lebih getir menanti pemain negara itu di pentas final apabila bakal berdepan pemain nombor satu dunia, Hania El Hammamy.
Hania mengesahkan tempat ke final selepas menundukkan rakan senegara dari Mesir, Fayrouz Aboelkheir dengan keputusan 11-10, 11-8, 11-8.
Final kali ini bukan sekadar perebutan gelaran, malah menjadi peluang terbaik buat Sivasangari untuk mencipta satu lagi sejarah besar dalam kariernya serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.