Kebangkitan luar biasa dipamerkan skuad hoki negara meskipun ketinggalan dua gol untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) 4-2 dalam aksi penentuan tempat ke-5 hingga ke-8 Piala Negara-Negara 2025-26 semalam.

Ketua jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan berbangga dengan semangat dan karakter ditunjukkan para pemain yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan dua gol dalam separuh masa pertama.

Ini bermakna skuad negara akan bertemu Scotland dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hartleyvale, Cape Town malam esok, selepas lawannya itu turut melakukan kebangkitan luar biasa mengikat Ireland 4-4, sekaligus meraih kemenangan 8-7 dalam penentuan shoot-out untuk mara ke perlawanan penentuan ke-5/6.

“Pada tahap ini, kami hanya perlu terus memperbaiki diri dan tidak terlalu memikirkan lawan akan dihadapi pada pusingan seterusnya. Apa yang penting, kami perlu jadi lebih baik dan bermain dengan konsisten sepanjang 60 minit.

“Kami perlu lebih baik ketika menguasai bola, mengukuhkan semula pertahanan, dan mempam erkan prestasi yang lebih baik esok berbanding hari ini,” katanya.

Begitupun, Carolan tetap meluahkan kekecewaan terhadap permulaan perlahan yang mengakibatkan mereka bolos dua gol menerusi pukulan sudut penalti (PC) Sekayi Charasika di minit pertama dan jaringan padang Alberto Montilla pada minit ke-17.

“Saya sendiri tidak pasti di mana fokus sepatutnya ada pada awal permainan. Kami melepaskan beberapa gol yang agak mudah pada peringkat awal. Tetapi, ia memang satu babak pertama yang mengecewakan.

“Namun sekurang-kurangnya para pemain bangkit dan prestasi pada babak kedua jauh lebih baik. Ia menunjukkan karakter pasukan apabila kami berjaya bangkit pada separuh masa kedua.

“Pertahanan PC kami juga jauh lebih baik dan kadar penyudah PC turut meningkat. Tahniah kepada para pemain kerana berjaya bangkit di babak kedua,” jelasnya.

Kebangkitan Speedy Tigers bermula di babak kedua dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit menerusi pukulan sudut penalti Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-32 serta 39.

Pukulan sudut penalti terus menjadi senjata utama Speedy Tigers apabila meraih gol ketiga menerusi Faizal Saari pada minit ke-52 sebelum Muhamad Faris Harizan melengkapkan kemenangan 4-2 ketika aksi berbaki lima minit lagi untuk tamat.

Kredit Gambar: FIH