DUA pertemuan dalam tempoh dua minggu, antara pemain nombor enam dunia, Nour El Tayeb dengan S.Sivasangari nampaknya sengit apabila jaguh skuasy negara, berjaya membalas dendam kekalahan di Piala Malaysia Ace minggu lalu dengan menyingkir harapan Mesir itu di pusingan kedua Terbuka Singapura.

Mungkin, lonjakan ranking dunianya yang kini di tangga ke-29, menyuntik semangat membara untuk memperbaiki prestasi di penghujung 2023.

Pemain skuasy wanita negara, Sivasangari berjaya mengatasi pemain nmbor enam dunia, Nour El Tayeb dari Mesir buat kali pertama, di Terbuka Singapura, |Foto SINGAPORESQUASH

Kemenangan 3-1, (11-6, 12-10, 8-11, 12-10) dalam masa 53 minit, menjadi kemenangan pertama memihak Sivasangari daripada lima pertemuan dengan El Tayeb.

“Saya rasa, aksi hari ini adalah prestasi terbaik saya setakat ini, sejak kembali tahun lalu. Saya fikir yang membezakan hari ini dengan sebelumnya adalah saya bermain dengan sangat konsisten.

“Beberapa hari lalu saya menentang Nour di Piala Malaysia Ace dan tewas, perkara itu masih bermain di fikiran,” kata Sivasangari.

Sivasangari mengakui dia lebih konsisten dalam segenap aspek, termasuk kesabaran sebelum mematikan bola. |Foto SINGAPORESQUASH

Menurutnya, dia lebih konsisten dari segi kesabaran kerana sebelum ini, sering terburu-buru sehingga melakukan banyak kesilapan sendiri.

“Hari ini saya cuba membiarkan permainan rali lebih lama, memberi tekanan kepadanya dan yakin terhadap kecergasan diri, percaya bahawa saya boleh menghantar bola ke tempat yang saya mahukan,” katanya.

Daripada lima pertemuan, Sivasangari menang sekali ke atas Nour El Tayeb.

Pada  separuh akhir Piala Malaysia minggu lalu, Sivasangari tewas di tangan El Tayeb 12-10, 3-11, 9-11, 6-11.

Sementara tiga pertemuan sebelum ini, di suku akhir Terbuka Manchester 2023, dia tewas kepada El Tayeb, 11-9, 8-11, 4-11, 8-11, di Kejohanan Dunia 2022 berlangsung di Kaherah (5-11, 11-4, 5-11, 11-13) dan di Fire Open 2022 (11-9, 11-8, 6-11, 9-11, 4-11).