HARIMAU Malaya bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Republik Kyrgyz dalam aksi pertama Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dua gol menerusi Dion Cools manakala satu gol sendiri dan Faisal Halim pada masa kecederaan serta empat bantuan jaringan daripada Arif Aiman memastikan Malaysia memulakan kempen dengan memungut tiga mata penuh.

Malaysia bermula baik dengan menguasai permainan dan melancarkan beberapa peluang ke gawang lawan dan akhirnya di hadapan seawal minit ketujuh apabila Dion Cools melonjak tinggi menanduk masuk hasil sepakan sudut Arif Aiman.

Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat anak-anak buah Kim Pan-gon dengan beberapa lagi gerakan berbahaya namun tidak berjaya menterjemahkannya menjadi jaringan.

Kegagalan menambah jaringan membuatkan Republik Krygyz mengambil kesempatan dengan kembali menyusun permainan dan mula melancarkan serangan ke kubu Malaysia untuk mencari gol penyamaan

Usaha mereka berhasil pada minit ke-42 apabila Zhyrgalbek Kairat merembat masuk melepasi Syihan Hazmi yang sebelum itu melakukan dua aksi penyelematan dan empat pertahanan Harimau Malaya di depan gawang.

Tidak sempat untuk mengatur kembali gerak, Republik Krygyz yang dari awal permainan kelihatan tidak mendatangkan bahaya tiba-tiba mendahului menerusi jaringan Batyrkanov Ernist yang berjaya melepasi kawalan pertahanan untuk menjadikan kedudukan 1-2 hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Faisal Halim hampir memberikan gol penyamaan buat Malaysia tetapi percubaannya ditampan penjaga gol lawan sebelum percubaan susulan Darren Lok dikesan ofsaid oleh penjaga garisan.

Ketika Kim Pan-gon sedang melakukan persiapan untuk melakukan pertukaran, Malaysia dikejutkan pula dengan gol menerusi pemain gantian, Merk Kai yang menghukum kesilapan pertahanan untuk gol ketiga Republik Krygyz.

Kemasukan Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Akhyar Rashid menambah sengat serangan Harimau Malaya dan Malaysia berhasil merapatkan kedudukan selepas bola rembatan Arif Aiman ditampan Khristiian Brauzman ke gawang sendiri pada minit ke-72.

Lebih 17,000 penyokong kembali bergempita apabila Malaysia menyamakan kedudukan 3-3 berselang lima minit sekali lagi menerusi Dion Cools yang menanduk masuk sepakan penjuru Arif Aiman.

Malaysia mencipta kebangkitan dramatik apabila Faisal Halim merembat masuk gol keempat pada masa kecederaan untuk memastikan Malaysia memiliki tiga mata penuh dan semangat baharu sebelum ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November.