PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan pemain yang berhasrat menyertai skuad Piala Thomas perlu membuktikan tahap kesiapsiagaan sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang kejohanan berprestij itu.
Menurutnya, hanya pemain yang benar-benar bersedia serta mampu mengekalkan prestasi konsisten dalam kejohanan akan datang akan dipertimbangkan untuk mengisi tempat dalam pasukan negara.
Beliau berkata, pemain yang berada dalam radar pemilihan perlu menggunakan setiap peluang sebaik mungkin bagi meyakinkan barisan kejurulatihan bahawa mereka layak membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
“Kalau ada pemain yang tahap persiapannya sudah mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus, mereka harus lebih fokus dalam kejohanan akan datang sehingga ke Piala Thomas.
“Bagi pemain yang mempunyai kemungkinan untuk diserap masuk ke dalam pasukan, mereka harus membuktikan kemampuan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai kem latihan Piala Thomas dan Piala Uber, Rexy memaklumkan persiapan telah bermula sejurus tamat Kejohanan Seluruh England dengan tumpuan diberikan kepada pemain dalam senarai awal.
Tambahnya, kem latihan kali ini turut mendapat suntikan motivasi apabila Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Zafrul Aziz hadir memberi kata-kata semangat kepada pemain.
Daripada 20 pemain yang disenaraikan dalam skuad, seramai 18 pemain menyertai kem latihan, manakala dua lagi pemain tidak dapat hadir atas faktor kecederaan.
“Lee Zii Jia masih mengalami kecederaan dan tidak dapat hadir, begitu juga dengan Goh Jin Wei, manakala pemain lain berada dalam keadaan baik dan mengikuti kem latihan seperti dirancang,” jelasnya.
Rexy turut memaklumkan bahawa persiapan pasukan akan dipertingkatkan lagi menerusi kem latihan di Denmark sebagai persediaan menghadapi kejohanan sebenar.