PRESTASI cemerlang skuad angkat berat negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 terus menerima pengiktirafan apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan seluruh pasukan atas pencapaian membanggakan yang dilakar di temasya berkenaan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata kejayaan tersebut membuktikan kemampuan skuad angkat berat negara bersaing di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
Pada temasya di Glasgow, kem angkat berat negara muncul antara penyumbang terbesar pingat apabila menghadiahkan tujuh pingat keseluruhan kepada kontinjen Malaysia, terdiri daripada lima pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Pencapaian itu turut disifatkan sebagai satu kejayaan bersejarah buat sukan berkenaan.
Lebih membanggakan, Persekutuan Angkat Berat Malaysia turut menerima Trofi Trafalgar, iaitu anugerah kepada Pasukan Angkat Berat Lelaki Terbaik Keseluruhan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang disampaikan ketika Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Komanwel di Glasgow pada 31 Julai lalu.
Menurut Mohamad Norza, pencapaian tersebut lahir hasil perancangan strategik yang tersusun serta komitmen semua pihak termasuk kepimpinan PABM yang diterajui Presidennya, Datuk Ayub Rahmat, selain sokongan jurulatih, atlet, penaja dan rakan strategik.
Sehubungan itu, MOM menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan PABM untuk memperoleh peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkukuhkan pembangunan sukan angkat berat di negara ini.
Menurut kenyataan itu, permohonan tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan angkat berat kini telah membuktikan dirinya sebagai antara sukan prospek utama penyumbang pingat emas di peringkat antarabangsa, selain memerlukan sokongan kewangan berterusan untuk menjaga kebajikan atlet dan melahirkan lebih ramai juara pada masa depan.
Dalam masa sama, MOM menegaskan komitmennya untuk terus membantu pembangunan angkat berat menerusi pelbagai inisiatif termasuk memanfaatkan geran Program Perpaduan Olimpik, sumber pembangunan Majlis Olimpik Asia serta bantuan daripada Tabung Amanah Majlis Olimpik Malaysia.