MEMALUKAN! Itu perkataan pertama yang diungkap oleh seorang pengendali kelab futsal wanita Lembah Klang.

Luahan ini dikongsi selepas menyaksikan undian Kelayakan Piala Asia AFC 2025 yang berlangsung pada Khamis tanpa kelibat nama Malaysia.

Apa yang meyedihkan kelayakan ini adalah terbuka dan ternyata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mengambil peluang untuk melonjak sukan futsal wanita Malaysia.

Menurut pemilik Kelab Futsal Wanita Putra Ria Azman Mahmood yang lebih sedekad mengendalikan skuad wanita tempatan, ‘pengabaian’ FAM kepada sukan futsal wanita bukanlah perkara baharu.

Sikap ‘aneh’ FAM yang tidak memberi komitmen kepada sukan futsal amat mengecewakan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada semua bekas pemain serta pemain industri sukan futsal ini.

“Amat memalukan sebab Malaysia sebelum ini berada di ranking dunia yang lebih baik. Sekarang berada di tangga ke-28 dunia.

Azman (dua kanan) telah melahirkan beberapa pemain futsal negara menerusi usahanya menguruskan Kelab Futsal Putra Ria lebih sedekad.

“Apa yang FAM buat? Individu dalam FAM yang sepatutnya menjaga sukan futsal ini buat apa? Kalau alasan tiada pemain, itu semua adalah bohong.

“Kita mempunyai ramai bakat-bakat muda dalam sukan futsal ini,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Lebih menyedihkan, apabila tiada inisiatif lebih bijak untuk mengembangkan sukan futsal ini.

“Ramai pemain-pemain futsal kini terpaksa beralih ke bola sepak. Di situ dapat lihat betapa lemahnya sistem pengurusan futsal di FAM. Tiada kesungguhan.

“Demi memastikan pemain-pemain saya tidak hilang, kelab bernasib baik mempunyai hubungan rapat dengan liga futsal Indonesia dan beberapa pemain saya beraksi di liga sana.

Pemain dari Malaysia beraksi di Liga Futsal Indonesia (kanan), Siti Asnida.

“Indonesia semakin meningkat dan lihat kini mereka akan beraksi di pentas kelayakan Piala Asia. Sebelum ini kita jauh lebih baik daripada mereka,” tambahnya lagi.

Tambah Azman, biarpun sudah lama perangai FAM mengetepikan sukan futsal wanita ini, dia tidak pernah untuk berhenti melahirkan pemain-pemain muda.

“Kelab-kelab futsal ada sahaja menganjurkan liga sendiri setiap minggu. Tetapi usaha ini hanya setakat itu sahaja kalau FAM masih belum lihat kemampuan pemain-pemain wanita tanah air.

“Ada juga bekas pemain kelab saya yang kini beraksi bersama skuad bola sepak wanita negara. Tetapi itulah.

Aksi terrakhir skuad futsal negara ketika di Sukan SEA Vietnam, 2022.

“Nak kata pencapaian skuad futsal Malaysia teruk, tak juga sebab ketika aksi Sukan SEA di Vietnam (2022) Malaysia meraih gangsa. Keputusan yang jauh lebih baik daripada skuad bola sepak,” katanya.

Tegas Azman, selagi ‘orang’ yang sepatutnya menguruskan, membangunkan sukan futsal ini masih selesa dengan jawatan yang dipegang tanpa sebarang usaha komited, nasib sukan futsal ini tidak akan ke mana-mana.

“Kalau persatuan lain, apa sahaja peluang atau bakat yang diketangah ke tahap tertinggi, mereka akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Tetapi FAM…”, tambahnya.

Sebagai rekod, undian kelayakan Piala Asia 2025 yang berlangsung di AFC House pada Khamis menyaksikan sebanyak 19 pasukan yang bertanding, dibahagikan kepada empat kumpulan.

Aksi kelayakan akan berlangsung di China pada11- 19 January di Thailand, Indonesia, Uzbekistan dan Mynmar sebagai tuan rumah (mengikut kumpulan masing-masing).

Manakala aksi Piala Asia akan berlangsung pada 7- 18 Mei di China.

Lebih bermakna sekiranya Filipina berjaya mara ke separuh akhir Piala Asia bersama tiga lagi finalis (separuh akhir) akan automatik layak ke Piala Dunia Futsal Wanita yang pertama kali dianjurkan Fifa pada November 2025 di Filipina.