FIFA dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk meluaskan saingan Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan sempena ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij itu, sekali gus membuka lebih banyak peluang buat negara seperti Malaysia untuk mencipta sejarah penampilan sulung di pentas terbesar dunia.

Menurut laporan Reuters, cadangan berani itu dikemukakan Persekutuan Bolasepak Uruguay (AUF) sejak Mac lalu dan kembali hangat selepas pertemuan antara pemimpin FIFA bersama ketua negara Uruguay serta Paraguay di New York, selain sokongan kuat daripada Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez.

“Kami mahu menyeru perpaduan, kreativiti dan percaya kepada sesuatu yang besar, kerana apabila bola sepak dikongsi oleh semua, ia benar-benar menjadi pesta global,” katanya.

Sekiranya diluluskan, format baharu ini bakal menyaksikan 128 perlawanan keseluruhan, berbanding 104 aksi dalam edisi 48 pasukan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pada 2026.

Walaupun menimbulkan kebimbangan terhadap jadual padat bola sepak dunia, cadangan ini dianggap peluang keemasan buat negara Asia, termasuk Malaysia, untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia.

Malaysia ketika ini masih memburu penampilan sulung di Piala Dunia selepas hampir berjaya melakar kejutan ke pusingan ketiga dalam kempen kelayakan 2026. Andai saingan ditambah kepada 64 pasukan, slot automatik buat Asia dijangka meningkat, sekali gus membuka laluan lebih luas untuk Harimau Malaya.

Edisi 2030 sudah pun mencipta sejarah apabila bakal berlangsung di tiga benua dan enam negara. Paraguay, Uruguay dan Argentina akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan pembukaan sebagai simbolik ulang tahun ke-100, manakala baki perlawanan akan dianjurkan di Sepanyol, Portugal dan Maghribi.

FIFA masih belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan ini, namun jika menjadi kenyataan, Malaysia berpeluang menunggang gelombang perubahan ini untuk menulis kisah baharu bola sepak negara. Ia bukan sekadar impian, tetapi peluang yang mungkin hadir sekali dalam seratus tahun.