SEJAK menyertai skuad senior November tahun lalu, Justin Hoh tidak menunggu lama untuk meninggalkan impak, apabila menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Ipoh, Perak Disember lalu.

Berada di bawah bimbingan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann, Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan K Yogendran, pemain yang bakal memasuki usia 19 tahun April depan itu terus mempamerkan konsistensi, apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Antarabangsa Estonia yang berakhir semalam.

Justin yang beraksi sebagai pemain kelayakan menunjukkan potensi apabila menewaskan dua pemain yang berada di ranking di atasnya.

Di pusingan kedua, Justin mengejutkan pemain ranking ke-157 dunia Andi Fadel dari Indonesia, 21-19, 21-23, 21-19 untuk melakar pertemuan dengan pilihan ketiga kejohanan dari Finland, Kalle Koljonen yang berada di ranking ke-61 dunia.

Pemain negara yang menghuni tangga ke-169 dunia itu mengejutkan lawan dengan kemenangan 9-21, 21-13, 21-17 di suku akhir.

Begitupun perjalanan Justin tersekat di separuh akhir apabila terpaksa akur kepada kekentalan Yushi Tanaka dari Jepun.

Pemain meingkat naik negara itu tewas 22-20, 19-21, 10-21 kepada pemain yang berada di ranking ke-87 dunia itu.

“Sebaik naik ke skuad senior, jurulatih terutamanya Wong Choong Hann sudah beritahu kepada saya, situasi dalam skuad junior dan senior berbeza, saya perlu cepat mengadaptasi permainan yang getir, berintensiti tinggi dan saya akan cuba sebaik yang mungkin dan buktikannya dalam kejohanan yang disertai,” kata Justin.

Sementara itu, prestasi baik juga ditunjukkan pemain perseorangan wanita Wong Ling Ching, 20.

Pemain yang menghuni ranking 317 dunia yang menunjukkan bakatnya pada saingan Purple League itu turut melangkah sejauh separuh akhir pada kejohanan terbabit.

Dia menewaskan pemain ranking ke-196 dunia, Anna Bygum (Denmark) di pusingan pertama, mengejutkan pemain ranking ke-194, Malya Hoareau (Perancis) di pusingan kedua, mengatasi pemain ranking ke-62 dunia Yaelle Hoyaux yang juga pilihan ketiga kejohanan dari Perancis di suku akhir sebelum tunduk kepada pilihan kedua dari Estonia, Kristin Kuuba (ranking ke-45) 19-21, 21-14, 13-21.