MAHU mara sejauh mungkin tapi, apa dihajati tidak berlaku sehingga Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur tersungkur di pusingan ketiga Kejohanan Dunia 2025.

Beregu campuran profesional negara itu tumpas kepada gandingan muda, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, selepas gagal memanfaatkan peluang pada mata genting meskipun bermula dengan langkah meyakinkan.

“Kami datang dengan harapan besar, tapi kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diinginkan, jadi kami akan terus berlatih dan bersedia untuk kejohanan seterusnya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur akan semangat melawan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Shevon mengakui mereka terlalu gopoh di penghujung set kedua sehingga hilang momentum dan memberi ruang lawan kembali bangkit.

“Pada mata genting kami terlalu mahu menamatkan perlawanan dengan cepat, akhirnya banyak buat kesilapan teknikal dan hilang rentak,” kata Shevon.

Soon Huat pula menambah mereka sudah mendahului sejak awal permainan tetapi gagal mengekalkan corak taktikal di saat getir.

“Kami sebenarnya mendahului sejak set pertama dan kedua, tapi bila sampai mata genting tiba-tiba kami ubah taktikal tanpa sebab,” jelas Soon Huat.