OLAHRAGA Malaysia (MA) berharap proses peralihan kuasa pentadbiran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kepada badan induk itu dipercepatkan.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sudah tiba masanya persatuan sukan seperti MA diberi tanggungjawab penuh dalam hal ehwal pengurusan, sebagaimana diamalkan di negara-negara maju.

“Selama ini kita terlalu bergantung kepada kerajaan — dari gaji jurulatih sampai perancangan program. Tapi kita lihat model di luar negara lebih efisien apabila semuanya diuruskan persatuan. Kita mahu buat perkara yang sama, tapi perlu diberi kuasa dan dana sewajarnya,” kata Shahidan dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim harap pertemuan dengan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin, selesaikan rundingan.

Shahidan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Pengarah MSN, Jeffri Ngadirin (hari ini), bagi membincangkan perkara itu termasuk permohonan peruntukan RM9 juta setahun untuk pengurusan 2025.

“Kalau diberi dana yang cukup, kita sedia ambil alih sepenuhnya. Tapi jangan beri tanggungjawab tanpa sokongan. Kita tak mahu terperangkap dalam sistem separuh jalan,” ujarnya.

Katanya lagi, buat masa ini MA hanya menerima peruntukan untuk tahun 2024, manakala dana 2025 masih belum diluluskan — situasi yang menjejaskan perancangan jangka panjang terutamanya menjelang temasya besar seperti Sukan SEA.

Sebelum ini, beberapa persatuan elit lain sudah mula menguruskan pentadbiran dan program atlet secara bebas, namun MA masih tertangguh berikutan nasihat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahu proses peralihan dijalankan secara berperingkat.

Dalam masa sama, Shahidan mengumumkan tiga kejohanan Super Siri termasuk satu edisi final pada November ini akan dianjurkan MA sebagai pentas pemilihan atlet ke Sukan SEA di Thailand.

“Super Siri bukan sekadar pertandingan, tapi langkah untuk menyaring dan mengenal pasti atlet terbaik negara. Kita nak lihat prestasi sebenar, bukan hanya atas kertas atau atas janji,” tegasnya.