KESEDARAN kelab dan penyokong terhadap kepentingan aksi di peringkat Asia semakin meningkat sejak kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan Asia Timur pertama menjuarai Piala AFC pada 2015.

Jika dahulu kebanyakan kelab hanya meletakkan KPI memenangi satu piala domestik tetapi mereka sudah menukar KPI dengan menekankan kelayakan ke Asia.

Musim 2022 menyaksikan tiga pasukan mewakili Malaysia di Asia dengan JDT di Liga Juara-Juara AFC manakala Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC pula beraksi di Piala AFC dengan KL City kini bakal beraksi di final Piala AFC pada 22 Oktober 2022.

 

Untuk musim 2023, tiga pasukan kini memburu dua tempat ke Piala AFC dengan Terengganu FC, Sabah FC dan Negeri Sembilan FC yang dipisahkan satu mata masing-masing berpeluang untuk layak buat pertama kali dalam era moden kejohanan Asia.

Perlawanan terakhir Liga Super bakal menjadi penentu dengan ketiga-tiga pasukan bukan sahaja perlu memenangi perlawanan masing-masing tetapi juga harus mengharapkan keputusan negatif kepada pasukan lain.

Sabah yang sejak lima bulan lalu selesa menghuni tangga kedua liga kini dilihat mungkin terlepas peluang ke Asia apabila perlu menang ke atas JDT di Iskandar Puteri dalam satu tugas yang sangat sukar.

Jika Sabah tewas, mereka perlu mengharapkan Terengganu tewas kepada Kedah di Alor Setar manakala Negeri Sembilan pula gagal mencatat keputusan positif ke atas Sri Pahang pada aksi di Kuantan.

Terengganu yang sedang dalam kemuncak prestasi memburu kemenangan kesembilan berturut-turut dalam Liga Super dan mungkin akan menambah rekod kekalahan Kedah menjadi lima perlawanan berturut-turut.

 

Keputusan seri akan menyukarkan misi ke Asia buat skuad kendalian Nafuzi Zain tetapi bukan mudah untuk berhadapan Sang Kenari di Darul Aman meskipun Kedah kini sedang bergelut untuk mendapatkan tiga mata.

Juara Liga Premier Malaysia 2021, Negeri Sembilan FC melakar kejutan musim ini dengan prestasi yang cemerlang dan kini hanya selangkah ke Asia jika mampu menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur.

Dengan hanya dua tempat yang menjadi taruhan, satu pasukan akan berduka apabila terlepas slot ke kejohanan kelab berprestij ini dan debaran pastinya akan terasa bagi semua pasukan.

Adakah Kuala Terengganu, Likas atau Paroi akan menerima kunjungan kelab Asia musim hadapan, menarik untuk disaksikan pada perlawanan terakhir malam ini.