PUKULAN smash badminton paling kencang di dunia kini sah milik Pearly Tan.
Rekod pukulan 438 kilometer sejam (km/j) itu, berjaya memahat nama Pearly dalam Guinness World Records.
Ironinya, nama atlet berasal dari Kedah itu disenaraikan sebagai pemain badminton wanita pertama dalam buku rekod dunia terbabit.
Jenama barangan terkemuka sukan, Yonex menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi mereka mengumumkan Pearly memegang rekod pukulan smash pemain badminton wanita paling laju di dunia, manakala Satwiksairaj Rankireddy dari India, memperbaharui rekod lelaki dengan kelajuan 565 km/j.

“Yonex berbangga mengumumkan atlet badmiton Yonex, Satwiksairaj Rankireddy (Ind) dan Pearly Tan (Mas), mencatat rekod baharu Guinness World Records, sebagai pemilik pukulan badminton paling pantas.
“Kali terakhir semakan Guinness World Records yang dirakam pada 2013, ini bermakna Rankireddy memecahkan rekod buat kali pertama selepas kira-kira sedekad,” kata Yonex dalam kenyataannya.
Ini bermakna, Rankireddy memadam rekod lama milik Tan Boon Heong yang mencatat kelajuan 493 km/j.

Satwiksairaj Rankireddy (kanan) padam rekod dunia milik Tan Boon Heong.
Bagaimanapun, untuk rekod pukulan smash paling laju kategori wanita, Pearly menjadi pemain badminton wanita pertama disenaraikan ke dalam Guinnes World Records dan secara automatik, menjadi penyandang gelaran itu.
Pearly muncul pemain badminton wanita pertama mencatat kelajuan smash melebihi 400km/j.
Yonex berkata, kelajuan smash Rankireddy dan Pearly itu jauh lebih laju daripada kepantasan sebuah kereta formula satu (F1).
Menurut kenyataan itu lagi, rekod itu dirakam di Gimnasium Yonex Tokyo Factory pada 14 April lalu dengan kedua-dua atlet menggunakan model raket Nanoflare 1000 Z.

“Impak smash yang dilakukan telah dirakam menggunakan kamera berkelajuan tinggi. Kelajuan bulu tangkis selepas impak smash kemudian dikira berdasarkan rakaman fotografi.
“Jarak pergerakan dan masa yang diambil oleh bulu tangkis dikira antara dua koordinat.
“Kelajuan segera dikira berdasarkan pengukuran jarak, masa dan kelajuan,” katanya.
Dengan dua rekod yang dicipta oleh Pearly dan Rankireddy ini sekali gus menyaksikan sukan badminton lebih laju daripada sukan bola yang lain apabila dibandingkan dengan rekod kelajuan terpantas dalam Guinness World Records.