BEREGU lelaki utama negara, Aaron China-Soh Wooi Yik, ketika ini fokus kepada persiapan fizikal dan melakukan latihan pukulan berkualiti dalam gelanggang, dalam misi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir.
Jelajah Dunia Akhir menjadi idaman gandingan ranking kedua dunia itu, berikutan penawaran mata ranking yang tinggi yang boleh dimanfaatkan dalam perlumbaan kelayakan ke Paris 2024.
Aaron berkata, peluang mereka cukup baik untuk layak ke kejohanan itu tetapi belum benar-benar selamat.

Aaron optimis mampu beraksi lebih baik di Jelajah Dunia Akhir 2023.
“Ketika ini, tempat kami di ranking kelima (Jelajah Dunia), selepas Terbuka Hylo (Jerman) masih ada beberapa kejohanan seperti Masters Korea, Masters Jepun, Masters China dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India.
“Kami tidak akan bermain di Korea, hanya mengambil bahagian di Jepun dan China, jadi masih perlu menunggu keputusan pemain lain sehingga aksi di India,” kata Aaron.
Begitupun, dia mengakui jika berjaya sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir di Masters Jepun di Kumamoto (14-19 November) dan Masters China di Shenzhen (21-26 November), peluang mereka ke Jelajah Dunia Akhir agak cerah.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini di ranking kedua dunia namun ranking Jelajah Dunia pada kedudukan kelima.
Ketika ini, Aaron-Wooi Yik di raking kelima Jelajah Dunia dengan 85,990 mata, hanya 790 mata di hadapan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan kira-kira 10,000 mata di hadan penghuni ranking kelapan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin (75,610) dan gandingan ranking kesembilan, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (75,460).
Meskipun dilihat berada pada situasi agak selamat, Aaron berkata, dia dan gandingannya lebih mahukan kemenangan di Kumamoto dan Shenzhen, namun enggan meletakkan diri dalam situasi tekanan tinggi.
“Selepas dapat satu gelaran, sudah tentu kami lahukan gelaran lain pula, begitu juga jika tiada gelaran, kami mahukan gelaran pertama.
“Apapun kemenangan di Denmark memberikan motivasi tinggi kerana kami sudah memecahkan halangan yang selama ini membelenggu.
“Jadi saya tak mahu nyatakan sasaran di Jepun dan China, kerana lebih penting layak ke Jelajah Dunia Akhir.”

Aaron sasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir di Masters Jepun dan China, bagi memastikan layak ke Jelajah Dunia Akhir.
Hanya lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi ke Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 13 hingga 17 Disember depan.
Pemain ditangga tercorot peringkat kumpulan akan memenangi 6,600 mata, ketiga (7,500 mata), separuh akhir (8,400 mata), tempat kedua (10,200 mata) dan juara (12,000 mata).
Aaron mengakui, dua kali beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada edisi 2020 dan 2022 bukanlah prestasi terbaik yang mereka mahukan apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan B.
Namun penawaran mata tinggi yang berguna untuk bekalan kelayakan ke Olimpik Paris amat berharga.