SKUAD beregu lelaki negara bakal menerima kepakaran baharu apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam proses menambah seorang lagi jurulatih bagi memperkukuh barisan kejurulatihan di bawah kendalian Rexy Mainaky.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan permintaan itu dikemukakan Rexy selepas menilai keperluan pasukan menjelang musim 2026 yang dijangka padat dengan kejohanan utama dunia.

“Memang ada permintaan daripada Rexy untuk menambah seorang jurulatih beregu lelaki dan kini kami sedang menemu duga beberapa calon berpotensi,” katanya.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh akui gagal membawa pulang pingat emas, namun ada petanda positif dipamer pemain.

Menurutnya, langkah itu penting berikutan hanya dua jurulatih ketika ini mengendalikan 10 pasangan beregu lelaki, sekali gus memerlukan tambahan tenaga bagi memastikan setiap pemain diberi bimbingan mencukupi.

“Penambahan jurulatih bukan sahaja membantu mengimbangi beban kerja, tetapi juga memastikan kualiti latihan kekal konsisten dan lebih tersusun,” ujarnya.

Kenny berkata, beberapa nama berpengalaman sedang dinilai, termasuk bekas pemain beregu negara Chang Kim Wai yang kini kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan senarai penuh skuad badminton negara ke Sukan SEA 2025 akan diumumkan hujung minggu ini, dengan jaminan Malaysia akan tampil dengan barisan paling kuat bagi memburu kejayaan gemilang di Thailand.