PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari gembira dengan keberanian para pemainnya yang cuba bermain corak permainan mereka meskipun beraksi di atas padang yang kurang baik apabila muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final pada Jumaat.

Jurulatih kelahiran Argentina itu bimbang dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh memberikan risiko kecederaan kepada pemain dengan dua pemain JDT, Corbin Ong dan Shane Lowry mengalami kecederaan dan perlu dikeluarkan.

“Kami sangat gembira kerana mendapat empat gelaran musim ini. Perlawanan akhir ini sangat susah kerana Terengganu adalah pasukan yang baik terutama di bahagian pertahanan.

“Pemain berani bermain permainan kami walaupun padang dalam keadaan kurang baik dan saya bimbang pemain cedera. dengan dua pemain terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

“Keadaan begini tidak membantu kami tetapi pemain tunjukkan keberanian dan berjaya jaringkan gol untuk muncul juara dan kejuaraan ini adalah hadiah untuk penyokong yang hadir ke sini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari juga berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadikannya sebahagian daripada projek JDT dan gembira kerana berjaya menyapu bersih kesemua empat piala domestik dalam tahun pertamanya sebagai jurulatih Harimau Selatan.

 

“Saya gembira kerana diberikan peluang untuk menjadi jurulatih pasukan ini. Kelab ini sentiasa mahu menambah baik dan mempunyai mentaliti juara serta dilengkapi pelbagai fasiliti yang cukup baik.

“Untuk berada dalam projek JDT setahun lalu adalah satu penghargaan buat saya. Namun tekanan juga ada kerana kelab ini sentiasa mahu menang. Kami berjaya menang empat piala hasil dari 41 pemain serta 27 pegawai dan kejayaan ini untuk mereka dan terima kasih TMJ,” jelasnya.

JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut dan melengkapkan gelaran ‘Double Quadruple’ hasil jaringan penalti Bergson Da Silva dan Arif Aiman serta jaringan Feroz Baharudin pada babak kedua.

Solari kini akan kembali menumpukan perhatian kepada aksi terakhir kumpulan Liga Juara-Juara AFC menentang BG Pathum pada Selasa sebelum menutup musim 2023 bertemu Penang FC dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.