KELAJUAN bulu tangkis merencatkan langkah beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang terkandas di separuh akhir Terbuka India, malam tadi.
Beregu nombor dua dunia itu gagal mengekalkan konsistensi sebelum akur tewas kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 10-21, 21-13, 11-21 dalam pertarungan selama 44 minit.
Wooi Yik mengakui keadaan gelanggang pada aksi separuh akhir jauh berbeza berbanding perlawanan suku akhir sehingga menjejaskan rentak permainan mereka.
Menurutnya, bulu tangkis yang lebih laju selain faktor angin menyukarkan mereka menyesuaikan diri dalam tempoh singkat.
“Kami agak lambat menyesuaikan diri kerana situasi hari ini sangat berbeza berbanding semalam,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kekalahan kepada pasangan ke-22 dunia itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua beregu kini terikat 1-1.
Mengulas persiapan seterusnya, Wooi Yik menegaskan mereka perlu tampil lebih agresif dan pantas membaca situasi gelanggang bagi mengelak corak permainan bertahan.