PEMINAT hoki tanah air bakal menikmati liputan menyeluruh Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil sebagai penyiar rasmi yang akan menyiarkan kesemua perlawanan secara langsung bermula 11 hingga 18 Oktober ini.

Aksi pembukaan antara India menentang Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya pada 11 Oktober akan menjadi permulaan kepada lapan hari saingan sengit yang turut membabitkan enam pasukan remaja terbaik dunia Malaysia, Australia, New Zealand, Pakistan, India dan Great Britain.

RTM melalui saluran Sukan RTM dan Okey akan membawakan setiap perlawanan termasuk siaran sorotan harian selama 30 minit pada penghujung setiap hari kejohanan, memastikan peminat tidak terlepas sebarang detik menarik dari Johor Bahru.

Perlawanan tumpuan pastinya melibatkan Malaysia yang akan membuka kempen menentang Pakistan pada 11 Oktober jam 6:15 petang sebelum berdepan India, New Zealand, Great Britain, dan Australia dalam saingan peringkat kumpulan.

Final dijadual berlangsung pada 18 Oktober jam 8.35 malam, disiarkan secara langsung di kedua-dua saluran utama RTM.

Liputan komprehensif oleh RTM kali ini menegaskan komitmen penyiar nasional itu untuk terus menyokong pembangunan sukan negara dengan membawa setiap detik perlawanan hoki negara ke kaca televisyen seluruh Malaysia.