PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemecatan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungan badan induk itu dengan berkuatkuasa serta merta.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengumumkan perkara tersebut selepas tempoh enam bulan yang diberikan kepada PFA untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada namun tidak ada hasilan.

“FAM hari ini telah membuat keputusan untuk memecat PFA sebagai ahli gabungan FAM berkuatkuasa serta merta setelah diberikan tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah yang ada,” katanya di sidang media di FAM.

Dalam masa yang sama, pemecatan PFA tidak boleh terlibat dengan kegiatan bola sepak di Malaysia namun kelab-kelab amatur tidak akan terjejas kerana tidak ingin membantutkan pembangunan pemain dari negeri itu.

“Kelab-kelab amatur yang mewakili Perlis tidak akan terjejas dan masih lagi ada peluang untuk bermain walaupun Perlis tidak lagi ahli gabungan FAM kerana tidak mahu membantutkan pembangunan di negeri itu,” katanya.

Sekiranya penggantungan FIFA terhadap PFA dapat dibatalkan, mereka masih berpeluang untuk memohon kembali untuk menjadi ahli gabungan FAM.

Tindakan yang diambil terhadap PFA menjadi peringatan keras terhadap semua persatuan bola sepak negeri agar tidak melakukan masalah yang boleh menjejaskan pentadbiran persatuan bola sepak negara.