Sokongan padu penyokong sendiri menjadi pembakar semangat Melaka Titans untuk menamatkan kempen GP Melaka STL Premier 2026 dengan kejayaan selepas menewaskan Perak Bison pada aksi final di Kompleks Sukan Bukit Serindit, malam tadi.
Kejayaan itu cukup bermakna buat pasukan tuan rumah yang berjaya bangkit selepas melalui dua pusingan Grand Prix (GP) pertama yang mencabar.
Kapten Melaka Titans, Zaim Razali menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil semangat berpasukan yang semakin meningkat, terutama selepas dirinya kembali pulih daripada kecederaan.
“Alhamdulillah, Tuhan uji kami pada GP Perak dan GP Penang. Saya pun mengalami kecederaan. Selepas pulih daripada kecederaan, saya nampak semangat pasukan memang berbeza,” katanya.
Menurut Zaim, perubahan positif dalam pasukan selepas kepulangannya ke gelanggang menjadi antara faktor yang membantu Melaka Titans kembali menjulang trofi GP.
“Mungkin sebab itulah kami dapat dakap semula piala GP ini,” katanya.

Sementara itu, tekong Melaka Titans, Syahir Rosdi mengakui berdepan perasaan gementar apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri yang memenuhi gelanggang.
“Pertama sekali, memang nervous apabila berdepan dengan penyokong Melaka. Kami masih mencari rentak dan seperti yang saya katakan, segalanya bermula di sini,” katanya.
Kejayaan tersebut turut disambut penuh kesyukuran oleh pemain Melaka Titans, Azlan Alias yang tidak lupa menghargai sokongan padu penyokong sepanjang saingan GP Melaka.
“Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyokong Melaka Titans,” katanya.
Kemenangan ke atas Perak Bison itu menyaksikan Melaka Titans berjaya memanfaatkan sokongan penyokong sendiri untuk menamatkan saingan GP Melaka dengan gelaran juara.