SRIKANDI Bumi Kenyalang terus terbang tinggi pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang semakin hampir untuk melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan Petra Jaya, pada Sabtu.
Pada saingan yang sudah memasuki hari keempat, barisan pesilat Sarawak terus mencipta kecemerlangan dan sebahagian besar wakilnya sama ada dalam kategori senior mahupun junior, berjaya mengesahkan tempat mereka ke final yang dijadualkan berlangsung esok.
Aksi lincah pesilat Sarawak dalam SPISC 2023 turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang memuji persembahan mantap sepanjang kejohanan .
Beliau kagum dan bangga dengan tahap tertinggi pesilat Sarawak yang menunjukkan kesungguhan dan semangat kesukanan sepanjang.
Malah, semasa melihat penampilan Josh Chua dari Sarawak menentang pesilat Melaka, Amirul Hakim Jaaffar dalam perlawanan separuh akhir kategori putra C junior, Fadillah terkejut dengan pertempuran sengit antara kedua-duanya.
“Kedua-duanya menghormati antara satu sama lain dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Josh Chua juga mempunyai kebolehan yang tinggi. Dia mempunyai kemahiran yang baik dan masih muda,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga berharap atlet Sarawak akan mencapai kejayaan yang cemerlang sekali gus meningkatkan prestasi silat di Sarawak agar mereka akan lebih berdaya saing dalam apa jua kejuaraan yang disertai.