PERAK FC bakal berdepan cabaran getir apabila bertemu gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri pada 27 Februari nanti.

Ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah mengakui bahawa perlawanan itu akan menjadi ujian besar buat pasukannya memandangkan JDT berpeluang untuk dinobatkan sebagai juara Liga Super sekiranya mereka berjaya memenangi perlawanan tersebut.

“Kami akan berdepan JDT, pasukan yang pasti turun habis-habisan kerana kemenangan akan mengesahkan kejuaraan mereka. Dalam masa yang sama, kami kehilangan seorang pemain akibat penggantungan, tetapi saya mahu semua pemain terus fokus.

“Tiada pasukan yang berjaya menang atau seri di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) musim ini, dan itu adalah satu cabaran yang sangat besar buat kami,” katanya.

Namun, Yusri menegaskan bahawa pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT dan akan berusaha keras untuk memberikan saingan sengit.

The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kelima liga dan mengutip 23 mata selepas beraksi 19 perlawanan musim ini.