TERENGGANU FC (TFC) bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain baharu sebagai persediaan sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M), 24 Februari ini.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, pemain di posisi tengah itu diharap mampu mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan skuad Sang Penyu.

Namun jurulatih Croatia itu enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan dengan salah seorang daripada tiga pemain dalam radar TFC merupakan awang import Asean.

“Saya jangkakan kami akan membawa masuk pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup. Skuad sedia ada sudah baik namun barisan penyerang TFC perlu dibantu seorang perancang tengah.

“Pemain itu perlu membantu bahagian serangan kami dengan menjadi penggerak selain memiliki kemampuan menjaringkan gol.

“Walaupun sukar mencari pemain sesuai, ada dua, tiga calon terbaik tetapi saya enggan menyebut nama kerana mereka juga menjadi buruan kelab lain,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN pada Ahad.

Steinbruckner menjelaskan, dia akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat bagi mendapat ‘lampu hijau’ untuk memperkuatkan pasukan TFC.

“Ianya juga bergantung kepada kedudukan kewangan kelab. Saya fikir mungkin sekurang-kurangnya seorang pemain baharu, tidak mustahil,” tambah beliau.