PASUKAN Selangor Pistons melakar kemenangan bergaya apabila mudah menewaskan Perlis Vipers 2-0 (15-10, 15-11) dalam perlawanan separuh akhir pertama Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024.
Kemenangan Selangor Pistons menerusi gandingan Zuhri Mohd Zin, Nonthanan Sombatlay dan Muhd Arif Mohd Badri ini bermakna mereka juga berjaya melayakkan diri ke Liga Premier STL 2024 (divisyen tertinggi) selain mengesahkan diri ke perlawanan akhir yang dijadualkan akan berlangsung malam ini.
Pengurus pasukan Selangor Pistons, Syahril Mohd Rashid berkata seluruh pasukan itu gembira dengan kejayaan Pistons yang berjaya mengesahkan diri bermain dalam Liga Premier.
“Pemain-pemain sangat gembira dengan kejayaan ini. Mereka sangat teruja kerana dapat bermain bersama pasukan-pasukan hebat dalam Liga Premier.
“Mereka mengimpikan untuk bermain di Liga Premier dan impian itu kini menjadi realiti buat mereka.
“Untuk perlawanan akhir malam ini, kita akan cuba baiki kelemahan yang kita nampak dalam perlawanan tadi dan kita akan bagi ‘all-out’ 100 peratus untuk menjadi juara,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Menanti Selangor Pistons di perlawanan akhir malam ini ialah pasukan Kelantan Warriors yang berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Melaka Titans 2-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.