JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin nekad keluar dari “bayangan” Asia Tenggara apabila memilih untuk memburu pendedahan lebih besar di Eropah sebagai persiapan menuju impian sebenar iaitu pingat emas Sukan Asia.

Bukan angkuh, jauh sekali mendabik dada, tetapi Irfan yang sudah merangkul enam pingat emas berturut-turut di Sukan SEA mengakui pencapaian itu sudah dilaluinya. Kini, fokus utamanya ialah platform yang lebih mencabar dan memberi pulangan prestasi, iaitu kejohanan-kejohanan berterusan di benua Eropah.

“Ini standard saya, tapi kita dah kena letak benda tu di belakang. Kita kena aim benda yang lebih besar. Saya tak pernah ada medal dekat sukan asia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pulang dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan.

Dengan tiga pingat daripada Kejohanan Asia termasuk gangsa di Gumi, tetapi masih belum pernah menggenggam emas, Irfan mahu gunakan prestasi semasanya yang disifatkannya setanding ketika usianya 23 hingga 24 tahun, untuk mencipta ‘lemparan impian’ di gelanggang antarabangsa.

“Dekat Europe, setiap minggu ada pertandingan. Saya boleh ‘pick and plan’, tak macam kat malaysia. Saya tak nak buang masa dengan kejohanan yang tak berikan cabaran,” katanya yang memegang rekod kebangsaan62.55 meter (m) yang dilakukan pada 2017 di Austria.

Tambahnya, mengikut perancangan bersama jurulatihnya Frank Petrovic (Slovakia), dia seharusnya mula menyertai kejohanan di Eropah pada 10 Jun ini, namun kekangan dana membatasi. Bagitupun dia akan tetap terus bergerak mengikut perancangan sendiri meskipun tiada bantuan diterima.

Dalam masa sama, atlet berusia 29 tahun itu turut menggesa pihak bertanggungjawab termasuk Olahraga Malaysia(MA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak memandang ringan terhadap sukan olahraga yang terbukti menjadi lubuk pingat negara.

“Kita kena ingat, olahraga ini lubuk medal. Kalau betul-betul invest, kita boleh capai lebih dari sukan lain. Tolong fokus, bagi perhatian,” tegasnya lagi.