KEJOHANAN STL Champions Cup 2024 akan menyaksikan lapan pasukan terbaik dari Asia berentap dalam usaha merebut gelaran juara di Stadium MBSJ Serdang Jaya bermula 13 hingga 17 November ini.

Pertandingan berprestij ini dijangka meriah dengan kehadiran empat pasukan jemputan antarabangsa dari Thailand, Indonesia, India, dan Singapura, bersedia mencabar empat pasukan tempatan terbaik dari STL Premier.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, menekankan hasrat Astro untuk menjadikan STL sebagai platform utama dalam pembangunan sepak takraw antarabangsa.

Menurutnya, setelah sedekad penganjuran, STL kini dikenali di Asia dan sedang melebarkan pengaruhnya ke Amerika Syarikat serta negara-negara lain dengan kerjasama penyiar antarabangsa seperti Fiji, Afghanistan, dan Mauritius.

“Matlamat kami ialah meningkatkan lagi taraf STL, menjadikannya antara sukan yang berprestij di peringkat dunia. Dengan kehadiran kelab ternama dan kolaborasi bersama penyiar antarabangsa, kami optimis bahawa STL akan terus berkembang,” katanya.

Sehingga kini, KL Thunder antara pasukan yang akan mengesahkan tempat di STL Champions Cup setelah muncul empat kali berturut-turut muncul juara saingan GP.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, optimis dengan persaingan kali ini yang akan menampilkan beberapa pemain antarabangsa terkenal, termasuk Siriwat Sakha dan Pichet Pansan dari Thailand serta Yumnam Akash dari India.

“Saingan sengit dijangka terutama dengan peningkatan kualiti pemain tempatan yang semakin matang dan bersedia menghadapi lawan antarabangsa,” tambahnya.

Persiapan bagi kejohanan ini kian rancak, dengan GP Johor yang akan berlangsung pada dua November di Arena Larkin, Johor, sebagai peringkat terakhir bagi STL Premier.

Empat pasukan teratas dari saingan STL Premier akan melayakkan diri ke saingan STL Cahmpions Cup.

Hanya empat pasukan terbaik dari STL Premier akan melayakkan diri ke STL Champions Cup 2024 dan berpeluang merebut gelaran yang kini dipegang Negeri Sembilan Antlers.

Selain STL Champions Cup, musim ini turut melibatkan STL Premier dan STL Divisyen Satu yang menyaksikan 12 pasukan bersaing dalam setiap divisyen. Kembalinya STL dengan kehadiran pasukan antarabangsa membuktikan komitmen PSM dalam memartabatkan sepak takraw di persada dunia.