PEMAIN terbaik perlawanan, Hariz Ezzat Hamidon, mencatatkan kejayaan cemerlang bersama pasukan PDRM dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi ke-40, apabila mereka berjaya menewaskan Johor dengan keputusan 43-29 di Stadium UiTM Shah Alam, Sabtu lalu.

Menerusi permainan yang penuh dengan strategi dan ketahanan, Hariz menyatakan kepuasan atas kejayaan pasukan melaksanakan perancangan yang rapi, meskipun awalnya perlawanan sedikit kucar-kacir.

Hariz Ezzat Menjadi pemain terbaik perlawanan selepas menunjukan prestasi luar biasa.

“Alhamdulillah, kami berjaya melaksanakan rancangan kami. Johor memberikan saingan yang baik, dan separuh masa pertama agak mencabar. Namun, jurulatih menekankan supaya terus menyerang dan bersabar,” kata Hariz yang tampil dengan aksi menyerlah, terutamanya pada separuh masa kedua.

Hariz turut mengulas kepentingan bimbingan berterusan daripada Ketua Jurulatih, Duke Krishnan K. Dinesvaran, yang memainkan peranan penting dalam kemenangan mereka.

Menurutnya, Duke bukan sekadar mengarahkan strategi tetapi juga memberikan teguran dan nasihat pada setiap serangan, terutamanya untuk meminimumkan kesilapan ketika mengawal permainan.

Hariz Ezzat Menjadi pemain terbaik perlawanan selepas menunjukan prestasi luar biasa.

“Pada separuh masa pertama, kami sedikit tergesa-gesa dan melakukan kesalahan, tetapi di separuh masa kedua, kami lebih bersabar dan berjaya mengambil alih perlawanan,” jelas Hariz.

Kejayaan PDRM menjulang Piala Agong kali ini bukan hanya kerana kehebatan strategi, tetapi juga hasil ketenangan dan keyakinan yang disuntik oleh jurulatih kepada setiap pemain.