PELUANG pecut sensasi negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, untuk berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) bakal ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN-Olahraga Malaysia (MA) yang dijadual berlangsung pada minggu pertama Ramadan nanti.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, menegaskan ketiadaan nama Danish dalam program kebangsaan ketika ini bukan bermakna atlet itu dipinggirkan, sebaliknya prestasinya sentiasa berada dalam pemantauan rapi badan induk berkenaan.

Beliau berkata, Danish yang masih mengikuti program bakat negeri kekal berada dalam radar MSN sejak tahun lalu menerusi kerjasama berterusan bersama Olahraga Malaysia.

Danish Iftikhar gembira bertemu legenda olahraga, Datuk Rabuan Pit.

“Nama Danish memang dalam radar MSN sejak tahun lalu dan MA melalui ketua jurulatih sentiasa berhubung dengan bapanya yang juga jurulatihnya, Muhammad Roslee Ismail,” katanya, ketika dihubungi Flash Sukan.

Menurut Jefri, perbincangan mengenai hala tuju Danish turut dibentangkan dalam bengkel MA pada Januari lalu sebagai sebahagian perancangan program 2026-2027 ke arah Sukan SEA 2027.

Beliau menjelaskan, selepas tamat Sukan SEA Thailand hujung Disember lalu, semua atlet dan jurulatih dimaklumkan bahawa program kebangsaan akan bermula pada Mac dengan atlet sedia ada meneruskan latihan seperti dirancang.

“Ketika ini atlet dalam program MSN teruskan latihan, manakala Danish masih berada dalam program bakat negeri,” katanya.

Atlet kelahiran Johor itu mencuri perhatian apabila meraih dua pingat gangsa acara 100 meter (m) dan 200m, termasuk catatan 10.26 saat (s) serta memecahkan rekod kebangsaan 200m dengan masa 20.73s.

Kini Danish melanjutkan pelajaran di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan mengikuti program yang disediakan pihak universiti.

Danish turut menyumbang pingat perak acara 4x100m bersama Alif Iman Fahmi, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam selepas mencatat masa 39.03s.

Prestasinya yang melonjak dengan rekod peribadi 10.18s serta gelaran juara Sukma Sarawak 2024 meletakkan Danish sebagai aset penting perancangan jangka panjang negara menuju Sukan SEA 2027 bersama pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhd Azeem Fahmi.