GANDINGAN baru beregu campuran, Yap Roy King-Valeree Siow meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia di Ipoh, Perak.
Roy King-Valeree yang diletak selaku pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah mengatasi gandingan remaja, Lok Hong Quan-Gobi Vannee 21-12, 21-17 dalam aksi di Arena Badminton Perak.
“Pada perlawanan hari ini, kita tidak fikir banyak kerana turun bertemu pemain junior. Kami hanya fokus untuk menunjukkan permainan sendiri dan ia berhasil untuk kami menang ke atas mereka.
“Selain itu, faktor pengalaman juga lebih memihak kepada kami kerana sudah menyertai banyak kejohanan sebelum ini. Oleh itu, kami dapat bermain dalam keadaan lebih tenang,” kata Roy King ketika dihubungi.
Walaupun diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, namun pemain berusia 21 tahun itu tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya mahu melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan separuh akhir.
Di suku akhir esok, Roy King yakin mereka memiliki kelebihan untuk menewaskan gandingan profesional, Ng Eng Cheong-Teoh Le Xuan.
“Sebenarnya saya tidak tengok sangat kepada faktor pemain pilihan kerana pemain-pemain senior juga ada di sini. Secara peribadi, saya fikir kami ada peluang untuk melangkah ke pusingan separuh akhir,” ujarnya.
Sementara itu, satu lagi gandingan remaja negara, Muhammad Buraidil Adha Azman-Noor Hazwani Hazair mengejutkan pilihan utama beregu campuran dari Maldives, Hussein Zayan-Fatimah Nabaaha Abdul Razzaq.
Mereka menang 21-9, 21-12.