Select Page

Sukan Para Asean 2022: Kontinjen negara diraikan bersama 10 negara bertanding

Sukan Para Asean 2022: Kontinjen negara diraikan bersama 10 negara bertanding

KONTINJEN Para Asean Negara diketuai Chef De Mission, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin diberi penghormatan di Upacara Menyambut Kedatangan Pasukan ke Sukan Para Asean ke-11 2022 oleh Gibran Rakabuming Raka Pengerusi INASPOC di Stadium Manahan, Kota Solo, Indonesia.

Selain Malaysia, kesemua kontinjen dari 10 lagi negara yang mengambil bahagian turut diraikan dengan majlis menaikkan bendera menjelang pembukaan rasmi yang akan berlangsung pada 30 Julai nanti.

Para atlet dan tetamu turut dihidangkan dengan persembahan kebudayaan sebelum upacara menaikkan bendera dijalankan diiringi lagu kebangsaan negara-negara yang bertanding.

Turut hadir dan memberikan ucapan adalah Presiden Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bhavilai yang mahu kesemua atlet berkongsi keterujaan dan bersedia untuk menghadapi hari yang penuh inspirasi semasa pertandingan berlangsung.

“Mari kita semua bergandingan tangan, bertanding dalam penuh semangat kesukanan dan persahabatan ASEAN dan jadikan Sukan Para Asean Solo 2022 ini sebagai kenangan yang akan dikenang oleh banyak pihak untuk tahun-tahun yang mendatang,” katanya dalam upacara itu.

Mejar Jeneral Osoth Bhavilai

Pada majlis yang sama, maskot Sukan Para Asean ini turut diperkenalkan iaitu Rajamala, patung wayang kulit yang terkenal di seluruh rantau nusantara yang turut akan diberikan sebagai cenderahati kepada para pemenang pingat.

Sukan Para Asean Solo 2022 ini akan berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos dengan 24 acara dari 11 jenis sukan dipertandingkan dengan disertai seramai 1,648 atlet dari seluruh Asean.

Pembukaan rasmi Sukan Para Asean ini akan berlangsung di Stadium Manahan yang akan disempurnakan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Malaysia akan diwakili 73 atlet dan 43 pegawai pengiring.

Video Terkini

Loading...