JADUAL padat yang akan memenatkan pemain remaja wanita negara, memaksa pengendali Lailin Abu Hassan melaksanakan strategi berbeza, dengan mengeluarkan pemain utama selepas skuad negara memperoleh beberapa jaringan ketika membelasah Taiwan 7-0 dalam aksi kumpulan A, Piala Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun.

Ketua jurulatih skuad remaja wanita kebangsaan itu berkata, begitupun pemainnya tetap bersemangat dan bermotivasi biarpun aksi pertama mereka ditunda ke hari ini, selepas hujan lebat menghalang jadual asal dua hari lalu daripada diteruskan di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries.

Namun, Lailin tidak mahu anak didiknya terbuai dengan kemenangan besar itu, sekali gus mahu pemainnya kekal fokus kerana bakal berdepan dua perlawanan seterusnya dalam tempoh dua hari berturut-turut (esok dan lusa).

Pemain negara cuba menghalang pemain Taiwan daripada melakukan serangan ke arah kubu pertahanan dalam aksi kumpulan A, Piala Remaja Asia (w) 2023 di Kakamigahara, Jepun. Malaysia 7-0 Taiwan./Pix AHF

Esok, Young Tigress akan berdepan pilihan kejohanan yang meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja Wanita 2022, India sebelum bertemu Uzbekistan pada Selasa ini.

“Kita tahu akan bermain tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh tiga hari. Disebabkan itu, saya merehatkan beberapa pemain utama selepas kita mendahului beberapa gol hari ini.

“Kita nak mereka bersedia sepenuhnya untuk aksi menentang India esok. Kita akan analisis perlawanan India semalam dan saya harap pemain-pemain lebih fokus dan tajam bertemu India,” katanya.

Nur Nabila Alia Yussaini dan Siti Nur Atika Shaikh Maznan masing-masing berjaya meledak dua gol buat skuad negara dalam aksi itu.

Baki tiga lagi gol berjaya dijaringkan oleh Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha, Nurul Fatin Fatiah Azman dan J Thibatharshini.

Kirandeep Kaur Gurdip Singh muncul pemain terbaik perlawanan ketika skuad negara menang 7-0 ke atas Taiwan./Pix AHF

Pada perlawanan pertama itu, bintang skuad senior kebangsaan, Kirandeep Kaur Gurdip Singh mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Biarpun merakam tujuh gol tetapi Lailin masih belum gembira dengan peratusan jaringan menerusi pukulan sudut penalti apabila menyempurnakan empat daripada keseluruhan lapan dirah sepanjang 60 minit permainan.

“Pemain nampak gugup untuk mendapatkan gol tetapi selepas keyakinan mereka meningkat selepas rehat separuh masa pertama. Persefahaman ditunjukkan juga meningkat dalam setiap suku masa.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan keputusan 7-0, cumanya masih perlu ditingkatkan daripada segi aspek ketajaman pukulan sudut penalti.”