PERLAWANAN terakhir peringkat Kumpulan B cukup mustahak untuk skuad bola sepak bawah (B-23) negara kerana ia sebagai meneruskan momentum positif sebelum menghadapi saingan lebih getir di peringkat separuh akhir.

Apa tidaknya, jika menang mengatasi Kemboja sudah tentu pasukan yang dikendalikan oleh Brad Maloney itu akan muncul juara kumpulan tanpa mengira apa juga keputusan melibatkan perlawanan Thailand dan Laos yang dilangsungkan hari yang sama pada Isnin.

Malaysia B-23 memimpin kedudukan teratas dengan tujuh mata, kelebihan satu mata di atas Thailand diikuti Singapura (6), Kemboja (2) dan Laos (1).

Pemenang Kumpulan B akan bermain pada sebelah malam dengan bertemu pasukan naib juara dari Kumpulan A manakala juara Kumpulan A bertemu pasukan tangga kedua Kumpulan B dalam aksi sebelah petang.

Besar kemungkinan pasukan negara akan bertemu Indonesia di halangan menuju ke final yang muncul pasukan kedua pilihan layak mengiringi tuan rumah, Vietnam dari Kumpulan A.

Tetapi, lupakan sejenak pertemuan itu yang akan hanya berlangsung pada Khamis memandangkan ada lagi baki satu perlawanan harus diselesaikan ketika berdepan Kemboja malam ini yang mungkin tidak memberi laluan mudah walaupun telah tersingkir daripada kejohanan ini.

Terdahulu, sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah dicapai dan pemain hanya menanti saingan terakhir peringkat Kumpulan B bagi penentuan juara.

Manakala, mood ceria jelas terpancar kesemua barisan pemain dan jurulatih skuad Harimau Malaya B-23 yang turun menjalani sesi latihan di Padang Latihan Palace Sports Nam Dinh Province.

Beberapa perubahan taktikal dan formasi dijangka dilakukan dengan beberapa pemain yang belum merasai nikmat minit permainan akan diturunkan Maloney untuk diberi pendedahan bermain di level tertinggi Sukan SEA.

Jangan lupa aksi kedua-dua yang berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh tepat jam 4 petang waktu di Vietnam.

Sebagai info, kali terakhir Harimau Muda memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Thailand adalah pasukan paling berjaya dalam pertandingan ini yang menjuarai 16 pingat emas, sementara Vietnam adalah juara bertahan.