SIASATAN akan dibuat Persekutuan Renang Malaysia (MS) berhubung dakwaan Datuk Pandelela Rinong, yang mendakwa ada ‘gangguan’ hingga menjejaskan prestasi skuad terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Setiausaha Agung MS, Andy Low berkata, pihaknya sudah menerima laporan Post Mortem prestasi di Doha, malah dia sendiri sudah bertemu Pandelela hari ini bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai dakwaan yang disuarakan penerjun wanita negara itu.

“Kami siasat dahulu, apabila selesai semuanya kami akan maklumkan apa sebenarnya yang berlaku,” kata Andy, pada sidang media selepas mesyuarat post mortem skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini.

Setiausaha Agung MS, Andy Low sahkan siasatan akan dimulakan.

Menurutnya, pertemuan dengan Pandelela itu berlangsung dalam suasana baik, namun Andy enggan mendedahkan bentuk ‘gangguan’ yang dinyatakan penerjun negara terbabit, kerana mahu siasatan dijalankan.

Flash Sukan sebelum ini melaporkan, Pandelela mendakwa ada ‘drama’ dalam kem terjun negara sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.

Justeru, beliau berkata, post mortem susulan kegagalan skuad terjun negara di Doha sudah diterima daripada pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas dan tiga jurulatih kebangsaan.

Datuk Pandelela Rinong mengeluarkan kenyataan mengejutkan, beberapa hari lalu.

“Kami sudah melakukan post mortem secara menyeluruh hari ini membabitkan pengarah teknikal dan tiga jurulatih. Kami melihat kepada semua isu termasuklah kekuatan dan kelemahan.

“Namun, saya minta maaf kerana tidak dapat mendedahkan maklumat yang lebih terperinci kerana ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat pemulihan sebelum di bawah ke mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja) bersama MSN (Majlis Sukan Negara).

Artikel Berkaitan:

“Sebelum kejohanan, cakap tiada masalah” – Andy Low

Ada dalang ‘ganggu’ persiapan skuad terjun?

“Tengoklah nanti dalam tempoh tiga minggu lagi, kami boleh maklumkan mengenai perkara ini,” katanya.

Skuad 13 penerjun mempamer aksi hambar pada penyertaan di Doha apabila tiada seorang pun yang berjaya menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Andy mengesahkan belum bertemu Nur Dhabitah Sabri dan berasakan tiada isu ditimbulkan penerjun terbabit, kerana kenyataan dibuat penerjun itu lebih kepada keluhan akibat kepenatan.