PEMAIN sayap Saddil Ramdani yang bermain dalam Liga Super untuk Sabah FC, merupakan antara pemain Indonesia yang perlu diberi perhatian penuh Malaysia B-23 kerana mampu menjadi ancaman besar di padang.

Jelas jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah pasukan Indonesia ibarat singa terluka pasti bermain bermati-matian demi memburu pingat gangsa sebagai pengubat kekecewaan selepas disingkirkan Thailand.

Bercakap kepada Flash Sukan pada Sabtu, Raja Isa yang pernah membimbing UiTM FC menilai tersingkir di peringkat separuh akhir memberikan kesan turunnya motivasi kedua-dua pasukan.

Namun, dia tetap melihat pertembungan nanti tetap menarik untuk ditonton dengan faktor maruah dan martabat yang harus dijaga.

“Pasukan bimbingan Brad Maloney kena tumpu kepada pemain seperti Marc Klok, Asnawi Mangkualam, Saddil Ramdani, Witan Sulaiman dan Marselino Ferdinan yang bakal menghadirkan masalah dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Ahad.

“Boleh sahaja Malaysia meniru cara Thailand untuk mengalahkan Indonesia.

“Ketika menghadapi Vietnam, Malaysia sesekali melakukan provokasi halus terhadap pemain lawan. Cara ini dilihat berhasil dengan memaksa Vietnam bermain sehingga waktu tambahan,” katanya.

Skuad Malaysia B-23 menurut Raja Isa mempertaruhkan majoriti pemain B-20 namun hanya bertumpu kepada penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim dan pemain kelab Jepun, Azul Claro, Hadi Fayyadh.

“Pasukan Malaysia yang berada di Vietnam memang disasarkan untuk meraih emas di Sukan SEA tahun depan. Luqman dan Fayyadh tahun depan masih berstatus pemain B-23,” ujarnya lagi.

Raja Isa menambah kejayaan Vietnam dan Thailand mara ke final memang sudah dijangka sejak awal. Alasannya, kualiti kedua-dua negara itu memang sudah berada di level Asia. Indonesia dan Malaysia perlukan masa untuk kembali mengimbangi mereka.

Malaysia mungkin turun tanpa dua pemain utamanya dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara bola sepak lelaki Sukan SEA menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi.

Dua tonggak tersebut ialah pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani yang mengalami kecederaan ketika menentang Vietnam di separuh akhir Khamis lepas.