MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), untuk menilai semula penglibatan atlet senior dan atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada temasya Sukan SEA 2021, selain memperkasa lagi sukan-sukan teras.

Malaysia bagaimanapun berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan merangkul 39-45-90 pingat, sekali gus meraih tempat keenam keseluruhan.

“Kalau kita terpaksa ambil keputusan sukar menggugurkan mereka, itu terpaksa kita lakukan kerana apa wajar dilakukan selepas ini adalah menyalurkan peruntukan berdasarkan kepada merit pencapaian, bukan lagi berdasarkan reputasi silam yang bukan lagi menjadi gambaran kekuatan terkini sesuatu sukan.

“Jangan leka dengan kemampuan melepasi sasaran ditetapkan pada kali ini, edisi ke-32 di Kemboja akan berlangsung kurang dari setahun, segala persiapan mengejar kegemilangan harus bermula sekarang.

”Jadikan kebangkitan ramai atlet muda yang membuktikan kemampuan wibawa kali ini sebagai platform untuk ‘menjelmakan’ mereka,” katanya.

Ahmad Faizal dalam laporan media tempatan juga tidak mahu mana-mana pihak mengatakan beliau menuding jari kepada atlet atau NSA, tetapi ia perlu dilihat sebagai cara untuk meningkatkan prestasi kontinjen negara pada temasya sukan akan datang.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian semua atlet, tetapi apa yang kita nak lakukan adalah untuk menilai diri kita untuk jadi lebih baik, tiada sesiapa menyertai temasya untuk berseronok duduk tempat corot,” ujarnya.