SKUAD petanque negara yakin akan membawa balik sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-31, Hanoi Vietnam bermula Mei ini.
Ketua jurulatih Zani Lisa Mohamed berkata, bahawa dia yakin dengan sasaran dua pingat emas yang telah ditetapkan itu.
“Walaupun kita tidak berlatih di luar negara ekoran sekatan pandemik Covid-19, tetapi menerusi kejohanan tempatan saya boleh katakan pemain-pemain semua menepati kriteria yang ditetapkan dan yakin akan membawa pulang dua pingat emas,” ujarnya pada sidang media pasukan, Selasa.
Sementara itu, pengurus Pasukan, Mohd Lutfi Othman pula berkata, persiapan pasukan berjalan dengan lancar setakat ini meskipun hanya berlatih dalam negara.
“Pasukan baharu sahaja pulang dari kem latihan pusat di Terengganu dan Kuala Selangor dan selepas ini latihan akan disambung semula di Arena Petanque Pudu Ulu, Kuala Lumpur.”
Bagi atlet lelaki, Mohd Hafizudin Mat Daud pula dia yakin pasukan mampu memberikan yang terbaik dan mencapai sasaran yang diberikan oleh MSN.
“Persiapan yang kami lakukan sangat lengkap dan ianya dapat membantu kami berlatih dengan baik dan tiada apa yang menggangu fikiran kami semua untuk mencapai misi yang telah ditetapkan”.
Manakala atlet wanita, Nurashimah Senin pula kini bersedia untuk menggalas cabaran di Sukan Sea tahun ini selepas cemerlang dengan dua pingat perak dalam dua temasya sebelum ini.
“Saya sudah bersedia untuk Sukan Sea kali ini dan lebih bersemangat untuk merangkul pingat emas serta mencipta rekod sebagai wanita pertama memenangi emas untuk acara petanque buat negara”.
“Saya juga telah mengenalpasti kelemahan saya ketika temasya yang lalu dan saya sudah mengatasinya dan kini saya akan membuktikan keupayaan saya untuk merangkul emas,” ujarnya.
Acara petanque akan membuka gelanggang pada 15 Mei ini dengan skuad kebangsaan diwakili 17 atlet dengan majoriti pemain adalah pemain senior dan ada beberapa pemain baharu diketengahkan.
Ia bakal menyaksikan lapan kategori dipertandingkan berbanding empat sebelum ini pada Sukan Sea Manila.
Sebagai rekod, pada temasya sebelum ini Malaysia membawa pulang satu emas satu perak dan satu gangsa.
Malaysia kini menduduki ranking kelapan dunia manakala pencabar utama, Thailand di tempat keempat dunia.