BAYERN Munich tiada pilihan selain bermain sehabis baik di halaman sendiri kempen Liga Juar-Juara dan tidak lagi mengulangi permainan buruk semasa pertemuan di Villarreal minggu lepas.

Pengemudi Bayern Munich, Julian Nagelsmann mengakui pasukannya bermain di bawah par dan perlu segera menukar kedudukan agregat di Allianz Arena.

Dalam pertandingan suku akhir pertama, Bayern kelihatan sukar mencipta peluang berbanding Villarreal beberapa kali mengancam gawang Bayern dan berjaya menyumbat gol tunggal permainan.

“Ini tidak akan berlaku lagi, main buruk bertemu lawan yang sama,” ujar Nagelsmann kepada Guardian.

Nagelsmann sekali lagi bernada yakin Bayern Munich dapat mengubah keputusan di papan jaringan sambil menyifatkan tekanan yang memuncak memberikan kelebihan buat Die Roten.

“Kami telah melakukannya pada masa lalu dan kena buat perkara seperti itu awal pagi esok. Kami perlu lakukan, wajib,” tambah Nagelsmann.

Satu lagi aksi, juara terbanyak kejohanan 13 kali, Real Madrid melayan kunjungan Chelsea di Santiago Bernabéu dengan memiliki kelebihan agregat 3-1.