PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merayu campur tangan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang kini disifatkan kritikal dan berbahaya.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, meluahkan kekecewaan terhadap birokrasi berpanjangan sehingga fasiliti ikonik itu terbiar tanpa latihan atau perlumbaan lebih setahun.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill mahu KBS campur tangan selesaikan isu Veledrom Rakyat.

Menurutnya, ketiadaan bumbung menjadi punca utama trek kayu rosak berulang kali akibat terdedah kepada panas dan hujan.

“Status terkini Velodrom Rakyat amat menyedihkan dan tidak selamat untuk digunakan,” kata Amarjit.

Beliau berkata isu berkenaan sudah berkali-kali dibawa kepada pihak KBS namun masih gagal menghasilkan tindakan konkrit.

Keadaan terkini Veledrom Rakyat. | FOTO PKBM

Amarjit mendedahkan peluang membaiki masalah itu terlepas ketika kerja naik taraf bagi Sukma 2018 apabila cadangan memasang bumbung tidak diendahkan.

Katanya, jika peruntukan kecil dibuat ketika itu, velodrom berkenaan tidak akan berdepan nasib sama seperti sekarang berbanding Velodrom Nasional Nilai.

Tegas Amarjit, pemulihan Velodrom Rakyat penting bagi menampung keperluan atlet zon utara dan mengurangkan kesesakan latihan di Nilai.