Laporan Khas dari Hanoi oleh: MOHD FAHMI ISMAIL bersama jurufoto MOHD IZARI ROSLI
KONTINJEN Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA ke-31 di Vietnam dengan prestasi hambar walaupun berjaya melepasi sasaran dengan mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa, namun berada di kedudukan keenam keseluruhan.
Sasaran yang ditetapkan pada awalnya iaitu 36 emas kelihatan seolah-olah sukar untuk digapai tetapi keresahan itu akhirnya berjaya dinoktahkan menerusi acara karate kumite lelaki.
Sebelum ini, pasukan Malaysia kali terakhir meraih emas Sukan SEA acara kumite lelaki pada 29 tahun lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuji dan kagum pencapaian kontinjen yang mampu memenuhi sasaran 36 emas di Vietnam.
Banyak sukan yang menjadi sasaran emas tidak mampu dicapai dan ‘digantikan’ acara lain yang langsung tidak dijangka dan bukan sasaran asal daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
Penetapan sasaran yang rendah dibuat kerana terdapat 22 jenis sukan yang pada kebiasanya dipertandingkan tetapi Vietnam tidak menyenaraikan pada temasya dwi tahunan di Hanoi.
Selain itu, faktor Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan banyak kejohanan dibatalkan atau ditangguhkan.
Semasa Sukan SEA Filipina, kita kehilangan 25 pingat emas, 18 perak dan 29 gangsa serta 27 jenis sukan tidak dipertandingkan.
Sukan terjun muncul penyumbang paling banyak dengan meraih lapan emas diikuti olahraga (lima emas) dan memanah, pencak silat dan karate (tiga emas).
Prestasi sukan atlet bertanding dikelaskan empat kategori iaitu cemerlang, memuaskan, sederhana dan gagal.
Akuatik terjun, olahraga, golf, gimrama, gimnastik artistik, bina badan, berbasikal wushu, taekwondo, karate, menembak, billiard snooker, badminton dan muay dalam kategori cemerlang.

Atlet baling tukul besi wanita, Grace Wong antara penyumbang pingat emas Sukan SEA 2021.
Manakala, ping pong, sepak takraw, lawan pedang, tenis dan tinju berasa pada tahap memuaskan sementara futsal wanita negara diklasifikasikan sederhana.
Kegagalan bola sepak Malaysia B-23 meraih pingat gangsa selepas tewas kepada Indonesia menghadirkan kritikan keras peminat. Malah bola sepak bersama catur, memanah, mendayung, futsal lelaki dan e-sport dianggap sukan gagal edisi kali ini.
Juwaidi Marzuki dari sukan memanah muncul prestasi atlet terbaik dengan kutipan dua emas, satu perak dan Rachel Yeoh Li Wen juga pada tahap membanggakan (dua emas, satu gangsa).
Bagi prestasi atlet muda, Steve Khiew How Yean (akuatik renang) menunjukkan persembahan mantap merangkul satu emas, tiga perak dan satu gangsa. Atlet karate, Sureeya Sankar Hari Sankar meraih dua emas dan atlet berusia 15 dari lawan pedang, Kamalanathan Kaerlan Vinod berjaya merangkul satu pingat perak.
Beberapa rekod kebangsaan turut berjaya diperbaharui antaranya menerusi 4x200m gaya bebas daripada (Khiew Hoe Yan, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun, Welsom Sim Wee Sheng) yang mencatat rekod baru 7:17.75s mengatasi rekod lama 7:26.84s.
Turut diperbaharui adalah angkat berat oleh Muhammad Erry Hidayat kategori 73kg. Dia mencatat angkatan 315kg, berbanding 312kg rekod lama.

Muhammad Erry Hidayat
Kejutan berlaku dalam pertandingan menembak 10m air pistol wanita, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin merakam rekod baru Sukan SEA iaitu membidik 239.3 mata, memintas rekod lama 234.8mata.
Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menamatkan saingan dengan prestasi hambar apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa.
Tuan rumah, Vietnam bergelar juara keseluruhan mengutip 205 emas, 125 perak dan 116 gangsa. Tempat kedua terbaik milik Thailand dan Indonesia ketiga.

Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad turut menyumbang pingat pada edisi Sukan SEA 2021.
Temasya berikutnya akan berlangsung di Kemboja bermula pada 5 hingga 16 Mei 2023 dengan atlet yang memenangi pingat di Hanoi akan dipilih untuk memulakan program latihan.
Sementara itu, beberapa perancangan telah digerakkan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara untuk kejohanan terdekat buat atlet negara. Antaranya, temasya Sukan Komanwel Birmingham bermula 28 Julai hingga 8 Ogos 2022.
Kesimpulannya, prestasi buruk yang dipamerkan kontinjen negara pada kali memberi petanda jelas bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan kesemua pihak berkepentingan dalam sukan negara seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia harus berganding bahu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengekang kemerosotan pada kali ini.